Kalau kau baca berita Indonesia minggu ni dan tiba-tiba ternampak perkataan Tailan, jangan terus salahkan wartawan. Jangan tuduh typo. Itu memang ejaan rasmi baharu. Thailand, dalam dunia Indonesia, bukan lagi Thailand tapi Tailan.
Dan ya, memang bunyi pelik. Tapi itulah hakikat keputusan rasmi Indonesia yang diumumkan Januari 2026 apabila mereka menyelaraskan ejaan nama negara asing mengikut sistem bahasa mereka sendiri.
Keputusan ini dibuat melalui dokumen rasmi yang dirangka oleh Badan Informasi Geospasial bersama Badan Bahasa dan pakar linguistik Universitas Indonesia, kemudian dihantar kepada United Nations Group of Experts on Geographical Names. Alasan rasmi ingin memudahkan pendidikan dan dokumentasi. Tapi pada rakyat biasa yang baca, reaksinya lebih kurang sama, “apa benda ni?”
Bukan Thailand saja yang kena. Indonesia tukar sepuluh nama negara sekali gus. Thailand jadi Tailan. Cabo Verde ditukar jadi Tanjung Hijau. Djibouti jadi Jibuti. Kyrgyzstan jadi Kirgistan. Liechtenstein jadi Liktenstin. Paraguay jadi Paraguai. Slovakia jadi Slowakia. Slovenia jadi Slowenia. Seychelles jadi Seisel. Sierra Leone pula jadi Siera Lioni.
Logik yang digunakan Indonesia sebenarnya disebabkan dalam bahasa Indonesia, gabungan huruf asing tertentu memang tak wujud. “Th” contohnya, memang tak ada. Jadi “Thailand” dianggap tak serasi dengan fonologi bahasa mereka.
Penyelesaiannya? Buang “th”, ringkaskan bunyi, jadilah “Tailan”. Prinsip yang sama digunakan pada negara lain.
Bunyi yang susah, dipermudahkan. Huruf yang pelik, dilenyapkan. Yang penting, senang disebut oleh lidah Indonesia.
Reaksi orang luar pun bercampur-campur. Ada yang gelak. Ada yang rasa ini keterlaluan. Bayangkan buku teks, peta, laporan rasmi, semuanya guna ejaan yang dunia luar tak guna. Dari sudut praktikal antarabangsa, memang mengundang kekeliruan. Dari sudut ego bahasa, memang tebal.
Dunia lain sibuk nak seragamkan istilah global, Indonesia pula buat dunia versi sendiri. Memang keras kepala.
Lucunya, ini bukan kali pertama perkara macam ni berlaku. Banyak negara memang ada nama sendiri untuk negara lain. Orang Melayu sebut Jerman, Belanda. Orang Thai tak panggil negara mereka Thailand pun. Tapi kebanyakan negara tak rasa perlu menukar ejaan rasmi serentak dan war-warkan ke peringkat PBB. Tapi Indonesia buat.
Tak ada apa yang pelik kerana Bumi juga berputar mengelilingi Indonesia.




No comments yet