Dalam institusi maharaja China, salah satu perkara penting yang perlu diambil kira oleh maharaja adalah memastikan kelangsungan dinasti, yang mana hal ini dicapai dengan melahirkan putera.
Untuk tujuan tersebut, maharaja China mempunyai sebuah harem yang besar, dipenuhi oleh kaum wanita. Terdapat hierarki khusus di dalam harem ini.
Walaupun kelas-kelasnya sentiasa berubah dari semasa ke semasa, secara umum harem mengandungi tiga hierarki umum iaitu permaisuri, gundik atasan dan gundik biasa.
Selain itu, sida-sida yang berkhidmat untuk wanita-wanita diraja ini juga boleh dianggap sebagai sebahagian daripada harem tersebut.
HIERARKI DI DALAM HAREM
Puncak hierarki di dalam harem Diraja China adalah permaisuri, iaitu seorang ‘isteri rasmi’ Maharaja. Permaisuri adalah wanita yang paling dihormati dan pemimpin yang dimuliakan bagi kaum wanita China, memandangkan beliau dianggap sebagai ‘ibu seluruh dunia’.
Di dalam harem, hanya maharaja dan ibundanya sahaja berkedudukan lebih atas berbanding permaisuri. Kesemua individu lain perlu patuh terhadap perintahnya.
Tambahan lagi, terdapat juga suatu kedudukan khusus buat permaisuri yang dinamakan sebagai maharani balu. Kedudukan ini merujuk kepada permaisuri-permaisuri yang usianya melebihi usia maharaja.
Antara maharani balu yang masyhur dalam sejarah adalah Wu Zetian dari Dinasti Tang (yang kelak menjadi maharaja wanita pertama China) dan Cixi dari Dinasti Qing.
GUNDIK-GUNDIK ATASAN DALAM HAREM DIRAJA CHINA
Tingkat di bawah permaisuri pula diduduki oleh gundik-gundik atasan. Bilangan dan gelaran gundik-gundik atasan ini berbeza mengikut dinasti yang memerintah.
Sebagai contoh, pada zaman pemerintahan Dinasti Qing, sebuah harem diraja mengandungi seorang Gundik Kehormat Diraja, dua orang Gundik Kehormat, dan empat orang Gundik Atasan. Tingkat di bawah gundik-gundik atasan ini diduduki oleh kelas gundik-gundik biasa, dan bilangannya berbeza mengikut maharaja.
Menurut Catatan Adat-Istiadat Zhou, seseorang maharaja ditetapkan agar memiliki 9 orang gundik berkedudukan tinggi, 27 orang gundik berkedudukan pertengahan dan 81 orang gundik berkedudukan rendah.
Namun pada zaman pemerintahan Dinasti Han (206SM-220M), tiada penetapan had bilangan gundik atasan bagi seseorang maharaja. Malahan, pada era Maharaja Huan dan Maharaja Ling, dicatatkan terdapat lebih 20 000 orang wanita mendiami Kota Larangan.
Pada zaman pemerintahan Dinasti Ming (1368-1644M), terdapat sebuah sistem rasmi dalam pemilihan gundik-gundik yang bakal menyertai harem maharaja. Proses pemilihan ini berlangsung di dalam Kota Larangan setiap tiga tahun.
PEMILIHAN GUNDIK
Calon-calon yang dipilih kebiasaannya berusia dalam lingkungan 14 hingga 16 tahun, dan mereka perlu menjalani proses penelitian latar belakang, keperibadian, tingkah laku, rupa paras dan keadaan tubuh.
SIDA-SIDA – SATU-SATUNYA KAUM LELAKI YANG DIBENARKAN UNTUK BERADA DALAM HAREM
Untuk memastikan setiap bayi yang dilahirkan di dalam harem adalah anak kandung maharaja, kaum lelaki sama sekali tidak dibenarkan untuk berkhidmat kepada kaum wanita yang mendiami harem maharaja.
Satu-satunya pengecualian yang diberikan ke atas peraturan ini adalah sida-sida, iaitu lelaki yang telah dik3mbiri atau dikasi.
Sepanjang sejarah China, sida-sida sememangnya hadir untuk memainkan peranan dalam menumpahkan khidmat kepada keluarga diraja, termasuklah di dalam harem.
Namun bagi sida-sida yang bercita-cita tinggi, mereka tidak hanya sekadar bertindak sebagai pengkhidmat keluarga diraja. Sebaliknya, mereka turut melibatkan diri dalam politik harem demi menduduki jawatan yang berpengaruh dan meraih kekayaan.
Pada zaman pemerintahan Dinasti Ming, dicatatkan terdapat sekitar 100 000 orang sida-sida yang berkhidmat untuk maharaja dan haremnya.
Dalam situasi harem yang begitu penuh dengan wanita-wanita maharaja, perseteruan dalam kalangan mereka demi berebutkan perhatian maharaja tidak dapat dielakkan.
Kedudukan yang paling menjadi rebutan tidak lain dan tidak bukan adalah kedudukan permaisuri, selain masing-masing bersaing untuk mengandungkan seterusnya melahirkan putera maharaja di mana hal ini berupaya memberikan kelebihan buat mereka.
PERSETERUAN DI DALAM HAREM
Sememangnya menjadi suatu kelaziman untuk wanita-wanita yang bercita-cita tinggi di dalam harem menyusun rancangan demi menjatuhkan seteru-seterunya. Untuk mencapai tujuan tersebut, tidak kurang ada yang menjalinkan kerjasama dengan sida-sida.
Seandainya helah yang diatur itu membuahkan hasil, kedudukannya di dalam harem meningkat. Sebagai balasan, sida-sida yang memberikan sokongan terhadapnya akan diganjari dengan dilantik dalam mana-mana jawatan berautoriti.
Permainan politik di dalam harem sebegini kerap berlaku dalam sejarah China. Misalnya pada zaman Dinasti Tang, terdapat salah seorang gundik atasan Maharaja Gaozing yang bernama Wu Zetian.
Menurut kepercayaan umum, Wu Zetian pernah mengarahkan agar puteranya yang baru dilahirkan dibunuh. Beliau kemudiannya menudingkan kesalahan pada Permaisuri Wang. Akibatnya, Permaisuri Wang pun dilucutkan pangkat dan gelaran itu diambil-alih oleh Wu Zetian.
Apapun, harem maharaja tidaklah diselubungi sepenuhnya oleh suasana konflik politik. Lebih-lebih lagi pada zaman pemerintahan Maharaja Huangdi di mana beliau mempunyai empat orang gundik yang setiap seorang daripada tidak dilantik berdasarkan rupa paras, sebaliknya atas faktor kebolehan.
Salah seorang gundik sampingannya merupakan pencipta resipi masakan dan kayu penyepit makanan. Gundik sampingan yang lain pula ada yang dipercayai menciptakan sikat. Secara bersama, gundik-gundik ini membantu Huangdi dalam memerintah empayar.
TERJEMAHAN:
Wu Mingren. (25 Mac 2017). 20 000 Women and 100 000 Castrated Men to Serve the Emperor: The Imperial Harem of China. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history-ancient-traditions/20000-women-and-100000-castrated-men-serve-emperor-imperial-harem-china-021296
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih