Bahasa Korea adalah sebuah bahasa Koreanik yang dituturkan oleh 63 juta orang di Korea Selatan, Korea Utara, China, Jepun, Uzbekistan, Kazakhstan dan China.

Untuk pengetahuan semua, Bahasa Korea mempunyai dua bahasa piawai. Piawai tersebut adalah Bahasa Korea Utara dan Bahasa Korea Selatan. Persoalannya, apakah itu Bahasa Korea Utara dan Bahasa Korea Selatan?

PENGENALAN KEPADA BAHASA KOREA

Bahasa Korea Utara adalah Bahasa Korea piawai yang dituturkan di negara Korea Utara ataupun nama rasminya, “Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK)”. Dalam sebutan asal, bahasa tersebut dikenali sebagai “chosŏn-mal (조선말/朝鮮말)”.

Bahasa Korea Selatan adalah Bahasa Korea piawai yang dituturkan di negara Korea Selatan ataupun nama rasminya, “Republik Korea (ROK)”. Dalam sebutan asal, bahasa tersebut dikenali sebagai “Hanguk-eo (한국어/韓國語)”.

Untuk artikel kali ini, kami akan menyampaikan tentang perbandingan antara Bahasa Korea Utara dan Bahasa Korea Selatan. Bahasa tersebut adalah bahasa piawai yang ditentukan oleh pemerintah masing-masing.

NAMA DAN PIAWAIAN BAHASA

Nama “chosŏn-mal (조선말/朝鮮말)” dan “hanguk-eo (한국어/韓國語)” masing-masing membawa maksud “Ucapan Joseon” dan “Ucapan Negara Han”. Joseon adalah nama dinasti yang memerintah dari tahun 1392 sehingga 1910 manakala Han adalah nama moden Korea Selatan.

Loghat “Munhwaŏ (문화어/文化語)” dan “Pyojuneo (표준어/標準語)” masing-masing dipilih sebagai asas dalam Bahasa Korea Utara dan Bahasa Korea Selatan. Loghat tersebut masing-masing dituturkan di Pyongyang dan Seoul ataupun sekitarnya.

SEBUTAN

Huruf “chiet (ㅊ)” membawa bunyi Letusan Gusi Tidak Bersuara Beraspirasi [tsʰ] dalam Bahasa Korea Utara. Dalam Bahasa Korea Selatan, huruf tersebut membawa bunyi Letusan Gusi-Lelangit Tidak Bersuara Beraspirasi [tɕʰ].

Untuk perkataan “Agresif”, Bahasa Korea Utara menyebutnya sebagai “ch’imnyak (침략)” manakala “Chimnyak (침략)” dalam Bahasa Korea Selatan.

Untuk membuat bunyi [tsʰ] , letakkan hujung lidah di hujung gigi hadapan. Kedua, buat bunyi “s” dalam “sayang” dan pada masa yang hembuskan bunyi “h” dalam “hadiah”.

Untuk membuat bunyi [tɕʰ], sebut bunyi “j” dalam perkataan “Beijing” dan pada masa yang sama, hembuskan bunyi “h” dalam “hadiah”. Perkataan “Beijing” dan “Hadiah” masing-masing perlu disebut mengikut sebutan Bahasa Mandarin dan Bahasa Melayu.

PEMBENTUKAN PERKATAAN

Perkataan asas dalam Bahasa Korea Utara dirapatkan untuk membentuk satu konsep yang baharu. Bahasa Korea Selatan tidak menggunakan sistem tersebut.

Contoh perkataan dalam Bahasa Korea Utara adalah “kugŏsajŏn (국어사전)”. Perkataan tersebut membawa maksud “Kamus Bahasa Korea”. Perkataan tersebut terdiri daripada perkataan “kugŏ (국어)” dan “sajŏn (사전)” yang masing-masing bermaksud “Korea” dan “Kamus”.

Contoh perkataan dalam Bahasa Korea Selatan adalah “gugeo sajeon (국어 사전)”. Perkataan tersebut membawa maksud “Kamus Bahasa Korea”. Perkataan tersebut terdiri daripada perkataan “gugeo (국어)” dan “sajeon (사전)” yang masing-masing bermaksud “Korea” dan “Kamus”.

PEMURNIAN BAHASA KOREA

Pemerintah Korea Utara telah menggalakkan penduduknya agar tidak menggunakan apa-apa serapan asing. Pada masa yang sama, Bahasa Korea Selatan banyak menyerap perkataan daripada Bahasa Inggeris.

Perkataan “meorimulbinu (머리물비누)” membawa maksud “syampu” dalam Bahasa Korea Utara. Perkataan tersebut secara harfiahnya bermaksud “Kepala Air Sabun”.

Perkataan “syampu (샴푸)” membawa maksud “syampu” dalam Bahasa Korea Selatan. Perkataan tersebut diserap daripada Bahasa Inggeris iaitu “Shampoo”.

KATA PINJAMAN

Kedua-dua bahasa piawai tersebut tidak dapat mengelak daripada penggunaan kata pinjaman daripada bahasa Eropah. Kata pinjaman dalam Bahasa Korea Utara diserap daripada Bahasa Rusia manakala Bahasa Korea Selatan daripada Bahasa Inggeris.

Contoh serapan Rusia dalam Bahasa Korea Utara adalah “kkumuna” dan “ttŭrakttorŭ (뜨락또르)”. Perkataan tersebut membawa maksud “kelompok yang hidup bersama” dan “traktor”. Perkataan tersebut masing-masing berasal daripada “kommuna (коммуна)” dan “traktor (трактор)”.

Contoh serapan Inggeris dalam Bahasa Korea Selatan adalah “komwin” dan “teuraekteo (트랙터)”. Perkataan tersebut membawa maksud kelompok yang hidup bersama” dan “traktor”. Perkataan tersebut masing-masing berasal daripada “commune” dan “tractor”.

APAKAH ERTI “KAWAN”?

Bahasa Korea Utara dan Bahasa Korea Selatan masing-masing memilih “tongmu (동무/同務)” dan “chingu (친구/親舊)” yang bermaksud “kawan”. Perkataan “tongmu” ataupun “dongmu” secara harfiahnya membawa maksud “komrad” dalam kedua-dua bahasa tersebut

KEBOLEHFAHAMAN BERSAMA

Kebolehfahaman Bersama ataupun dalam bahasa Inggeris “Mutual Intelligibility” secara ringkasnya adalah situasi di mana penutur dapat memahami antara satu sama lain tanpa perlu pelajarinya.

Persoalannya, adakah mereka dapat memahami antara satu sama lain? Dengan keadaan, mereka perlu berbual dengan menggunakan bahasa piawai masing-masing.

Mereka secara umumnya boleh memahami antara satu sama lain. Orang Korea Selatan mungkin perlu memikirkan maksud bagi “air kulit”, “kepala air sabun” dan “air manis” dalam Bahasa Korea Utara. Perkataan tersebut bermaksud “losyen”, “syampu” dan “jus”.

AKHIR KATA

Kesimpulannya, itu adalah artikel tentang perbandingan antara Bahasa Korea Utara dan Bahasa Korea Selatan. Apakah yang penulis terlupa tentang kedua-dua Bahasa Korea tersebut? Harap berikan ulasan anda di dalam ruangan ulasan di bawah.

Pautan “https://m.youtube.com/watch?v=rI_MG3ZnDak&t=114s” adalah contoh video dalam Bahasa Korea Utara. Kepada mereka yang fasih berbahasa Korea, adakah anda boleh memahaminya? Harap berikan ulasan anda di dalam ruangan ulasan di bawah.

RUJUKAN:

Omniglot: Korean. Dicapai pada 28hb Jun 2020 dari https://www.omniglot.com/writing/korean.htm

Choson Dynasty. Dicapai pada 28hb Jun 2020 dari https://www.britannica.com/topic/Choson-dynasty

Han (한), a Korean Cultural Trait. Dicapai pada 28hb Jun 2020 dari https://www.google.com/amp/s/thekoreanway.wordpress.com/2010/07/15/han-%25ED%2595%259C-a-korean-cultural-trait/amp/

Korean Language: Difference North South. Dicapai pada 28hb Jun 2020 dari https://legal-translations.com.au/korean-language-key-differences-north-south/

Lee & Ramsey, 2000. The Korean language


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Aku adalah orang biasa yang meminati bahasa dan aplikasinya. Semoga penyampaian ilmu ini membawa manfaat kepada semua pihak sama ada secara langsung mahupun sebaliknya. Mohon permana keampunan jika ada sebarang salah dan silap. Cogan kata yang menjadi pegangan hidup adalah “Had Bahasaku Had Duniaku” ataupun “Batas Bekaku Batas Banuaku” dalam Bahasa Melayu Asli (Beka Melayu).

Comments are closed.