Bahasa Jepun ataupun nama asalnya, Nihongo (日本語) adalah bahasa Japonik yang dituturkan oleh 128 juta orang di seluruh dunia khususnya di Jepun. Dalam penulisan, bahasa ini mempunyai sehingga empat jenis tulisan dalam satu ayat. Penulisan tersebut adalah Hiragana (ひらがな), Katakana (カタカナ), Kanji (漢字) dan Rōmaji (ローマ字). Artikel ini membincangkan tentang kelebihan dan kekurangan dalam Kanji, salah satu daripada tulisan bahasa tersebut.

Kanji adalah tulisan Cina yang digunakan untuk menulis perkataan dalam bahasa Jepun. Tulisan yang tiba di kepulauan tersebut sejak tahun 4 500 SM itu merupakan sebuah sistem lambang yang melambangkan idea dan mempunyai makna serta sebutan yang berbeza bergantung kepada konteksnya. Persoalannya, apakah kelebihan dan kekurangan di sebalik penggunaan tulisan itu dalam bahasa ini?

Antara kelebihan Kanji dalam bahasa Jepun adalah daripada segi ruangan dalam penulisan. Penggunaan Kanji dapat menjimatkan ruang dalam tulisan.  Beberapa perkataan dalam “kana” dapat dikurangkan menjadi satu ataupun dua Kanji. Pertimbangkan ayat ini: “Encik Kobayakawa hendak memakan Sasyimi”. Dalam transliterasi bahasa, ayat tersebut berbunyi “kobayakawa-san wa sashimi o tabetai desu”. Jika sepenuhnya dalam tulisan Hiragana, ia menjadi “こばや かわさんはさしみをたべたいです” manakala dalam Kanji menjadi “小早川さんは刺身を食べたいです”. Lapan belas (18) perkataan dalam Hiragana dapat dikurangkan menjadi empat belas (14) sahaja dalam Kanji. Oh ya, Sasyimi (刺身) adalah sebuah hidangan berupa makanan mentah seperti ikan, kuda dan rusa yang dihiris nipis serta menjadi antara hidangan yang terkenal di sana.

Kekurangan Kanji dalam bahasa Jepun adalah daripada segi adab dalam penulisan. Tulisan Kanji perlu ditulis mengikut peraturan yang tertentu. Sebagai contoh perkataan “perempuan (女)” , unsur “く” perlu ditulis dahulu lalu diikuti oleh “ノ” dan “一”. Untuk perkataan “negara (国)” , unsur “口” perlu ditulis dahulu lalu diikuti oleh “玉”. Kepada sesiapa yang mengambil bahasa Jepun, semoga berjaya dalam menulis perkataan rumit seperti cinta (愛), elektrik (電), naga (龍), kupu-kupu (躊) dan kemurungan (鬱).

Selain itu, kelebihan Kanji dalam bahasa Jepun adalah daripada segi pemberian makna perkataan. Kanji dapat mengelakkan homonim dalam bahasa ini. Homonim adalah dua ataupun lebih perkataan yang mempunyai ejaan dan bunyi yang sama tetapi membawa makna yang berbeza. Sebagai contoh, “Chichi” membawa maksud “ayah (父)” ataupun “payudara (乳)”. Perkataan “Shibou” membawa maksud “kematian (死亡)”, “gris (脂肪)” ataupun “cita-cita (志望)”. Perkataan “Shushō” membawa maksud “Perdana Menteri (首相)”, “terpuji (殊勝)” dan “kapten (守将)”.

Kekurangan Kanji dalam bahasa Jepun adalah daripada segi bilanga perkataan. Terdapat lapan puluh lima ribu (85 000) Kanji dalam bahasa ini, di mana sekitar dua ribu (2000) sangat kerap digunakan dalam kehidupan. Sepanjang zaman persekolahan di Jepun, mereka hanya perlu mengetahui sekurang-kurangnya 2 136 Kanji sahaja. Tambahan sekitar 800 Kanji untuk memahami isikandungan dalam media-media cetak. Kesabaran yang tinggi perlu diterapkan dalam diri pelajar untuk menguasai Kanji.

Di samping itu, kelebihan Kanji dalam bahasa Jepun adalah daripada segi kemudahan dalam pembacaan. Jika keseluruhan ayat ditulis dalam kana, kita akan mengalami kesukaran untuk membaca akibat tidak mengetahui di mana permulaan dan penamat perkataan. Hal ini kerana, ayat-ayat dalam bahasa ini ditulis secara rapat-rapat. Dengan Kanji, kita dapat mengimbas dengan lebih mudah akan isikandungan dalam sesuatu ayat.

Akhir sekali, kekurangan Kanji dalam bahasa Jepun adalah daripada segi bilangan coretan. Yang paling mudah, sesuatu Kanji hanya mempunyai satu coretan sahaja manakala yang paling rumit mempunyai enam puluh empat (64) coretan. Sebagai contoh, perkataan “satu (一)” hanya mempunyai satu coretan manakala perkataan “banyak perkataan” mempunyai 64 coretan. Perkataan yang mempunyai coretan terbanyak itu terdiri daripada perkataan “naga (龍)” yang diulang sebanyak empat kali dalam bentuk segi empat sama. Malah perkataan “taito” mempunyai bilangan yang terdiri daripada tiga perkataan “awan (雲)” dan tiga perkataan “naga (龍)” mempunyai lebih banyak coretan iaitu sebanyak lapan puluh empat (84) coretan.

Kesimpulannya, itu adalah antara kelebihan dan kekurangan Kanji dalam bahasa Jepun. Menurut Institut Perkhidmatan Asing (FSI) yang bertempat di Amerika Syarikat, bahasa Jepun dikelaskan sebagai “Category V” bersama-sama dengan bahasa Arab, Mandarin, Kantonis dan Korea. Penutur bahasa Inggeris mengambil masa selama 88 minggu ataupun 2 200 jam kelas untuk menguasai bahasa Jepun. Ramai pihak mendakwa, bahasa Jepun jauh lebih rumit daripada Arab, Mandarin, Kantonis dan Korea.

RUJUKAN:

Foreign Service Institute Language Difficulty Rankings. Retrieved May 12, 2019 from https://www.atlasandboots.com/foreign-service-institute-language-difficulty/

W.T.F. Japan: Top 5 Most Difficult Kanji Ever (Weird Top Five). Retrieved May 12, 2019 from https://soranews24.com/2016/08/04/w-t-f-japan-top-5-most-difficult-kanji-ever%E3%80%90weird-top-five%E3%80%91/

The 3002 Kanji Characters You Need To Read A Newspaper. Retrieved May 12, 2019 from  http://duncansensei.com/2015/01/3002-kanji-characters/

How many Kanji characters are there?. Retrieved May 12, 2019 from  https://japanese.stackexchange.com/questions/11735/how-many-kanji-characters-are-there

Homonyms in Japanese – Homophones & Homographs. Retrieved May 12, 2019 from  https://www.japanesewithanime.com/2017/12/homonyms-in-japanese.html

Examples of Homonyms. Retrieved May 12, 2019 from  https://examples.yourdictionary.com/examples-of-homonyms.html

How To Guess A Kanji’s Stroke Order. Retrieved May 12, 2019 from  https://www.tofugu.com/japanese/kanji-stroke-order/

Sashimi. Retrieved May 12, 2019 from  https://www.japan-guide.com/e/e2044.html

6 Reasons Why Kanji Is Necessary. Retrieved May 12, 2019 from  https://www.nihongomaster.com/blog/what-is-kanji/

What is Kanji?. Retrieved May 12, 2019 from  https://www.nihongomaster.com/blog/what-is-kanji/

Japanese in Omniglot. Retrieved May 12, 2019 from  https://www.omniglot.com/writing/japanese.htm


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Aku adalah orang biasa yang meminati bahasa dan aplikasinya. Semoga penyampaian ilmu ini membawa manfaat kepada semua pihak sama ada secara langsung mahupun sebaliknya. Mohon permana keampunan jika ada sebarang salah dan silap. Cogan kata yang menjadi pegangan hidup adalah “Had Bahasaku Had Duniaku” ataupun “Batas Bekaku Batas Banuaku” dalam Bahasa Melayu Asli (Beka Melayu).

Comments are closed.