Nama Sogo ini sudah tentu tidak asing lagi di telinga masyarakat, termasuklah di negara Malaysia ini. Ia berfungsi sebagai sebuah pusat membeli belah di tengah-tengah kota raya Kuala Lumpur dan semenjak zaman-berzaman telah menjadi tumpuan umat manusia.
Sogo yang kita cukup kenali ini berasal dari Jepun. Bahkan, ibu pejabatnya pada harini masih kekal di Jepun, iaitu di Tokyo. Perniagaannya sudah meluas ke serata dunia, bahkan sehinggalah ke United Kingdom. Syarikat ini bagaimanapun hanya bermula sebagai perniagaan menjual pakaian tradisional kimono di Tokyo.
Tetapi, tahukah anda bahawa syarikat yang nilainya mencecah berbilion-bilion Dolar Amerika ini pernah jatuh bankrap?
Sesudah tamatnya Perang Dunia Kedua menyaksikan Sogo memperbesarkan perniagaannya dengan begitu meluas, menepati cita-rasa masyarakat pasca perang yang ekonominya mulai membangun.
Memasuki tahun 1980-an, Sogo menjadi salah satu rangkaian pasar raya terbesar di Jepun, malahan menjadi lambang kemewahan masyarakat pada ketika itu. Hal ini berikutan terjadinya ekonomi buih (bubble economy) di Jepun pada waktu itu.
Terjadinya ekonomi buih di Jepun ini adalah kerana perkembangan ekonominya yang begitu kukuh sehinggakan sekalian bank-bank menetapkan kadar faedah yang rendah terhadap pinjaman-pinjaman perniagaan.
Makanya, syarikat-syarikat gergasi seperti Sogo ini telah memanfaatkan perkara itu dengan menyalurkan wang pinjaman yang diterima ke dalam sektor aset dan hartanah. Hal ini kemudiannya menjurus kepada kenaikan mendadak terhadap nilai aset dan hartanah di Jepun.
Apabila perkara ini sudah lagi tidak terkawal, bank-bank itu tadi mula menaikkan kadar faedah pinjaman. Tindakan ini menjadi satu efek domino yang pada akhirnya membenamkan sektor aset hartanah itu tadi dengan kejatuhan mendadak nilai asset dan hartanah di negara itu.
Sogo pada sebelum itu tidak mahu ketinggalan dengan syarikat-syarikat gergasi lain dalam melakukan pembelian gergasi dalam sektor itu. Maka, dengan kenaikan kadar faedah bank tadi, hutang-hutang Sogo mula meningkat secara mendadak. Lebih buruk lagi, nilai aset dan hartanah juga sedang menjunam.
Hasil jualan Sogo juga sudah tidak mampu lagi untuk menampung perbelanjaan bayaran semula hutang-hutangnya itu. Jadinya, Sogo pun jatuh bankrap. Pada fasa akhir sebelum termeterainya kejatuhannya itu, Sogo dicatatkan memiliki jumlah hutang mencecah US$17 bilion! Satu jumlah yang tidak masuk dek akal!
Sogo setelah itu telah diambil alih oleh Kumpulan Pasaraya Seibu yang menjurus kepada penubuhan syarikat Sogo & Seibu Ltd. Co., menjadi permulaan baharu kepada syarikat gergasi itu. Pada hari ini, syarikat itu dimiliki oleh Kumpulan Seven & i Holdings yang juga merupakan pemilik 7Eleven Jepun.




No comments yet